Di Malaysia, sistem perubatan Homeopathy diasaskan oleh seorang tokoh yang amat besar jasanya kepada tanah air iaitu
Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy
(1911-1969). Seorang yang
gigih dan bergiat cergas dalam organisasi politik dan agama, salah seorang
pengasas Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pernah menjawat jawatan presiden Partai Islam Se Malaysia (PAS). Homeopathy
dibawa masuk dan diperkenalkan ke tanah
Melayu oleh Dr. Burhanuddin apabila beliau pulang ke Malaya pada tahun 1929. Beliau merupakan graduan daripada
Ismaeliah Medical College, New Delhi.
Prof. Dr. Burhanuddin Bin Mohamad Noor
( M.D.H. Phd ) atau lebih dikenali sebagai Dr. Burhanuddin Helmi merupakan tokoh ulung yang dianggap sebagai pengasas Perubatan
Homeopathy. Di lahirkan pada 29 Ogos 1911, di Kampung Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak. Berasal dari keturunan bangsawan
iaitu bapanya dari Jambu, Sumatera dan dikatakan seorang ahli sufi. Manakala ibunya, Syarifah Zahrah berasal dari keluarga
ternama. Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Melayu Behrang, Ulu Perak dan berpindah ke Sekolah Melayu Sungai Bakap sehingga
darjah 3.
Ketika ini beliau telah berjinak dengan
dunia penulisan. Pada 1924 beliau telah di hantar oleh keluarganya ke Sungai Jambu Sumatera untuk mendalami ilmu agama selama
2 tahun. Pada 1927 beliau menyambung pengajian di sebuah pondok di Jitra , Kedah dan seterusnya di Madrasah Al-Mashor Al-Islamiyyah,
Kepala Batas, Pulau Pinang. Dengan ketekunannya beliau dapat menguasai bahasa arab dengan baik.
Pada tahun 1928 beliau melanjutkan pelajaran
ke Ismaeliah Medical Collage, New Delhi dalam bidang perubatan Homeopathy dan berjaya memperolehi ijazah. Di sini beliau dapat
menguasai bahasa Inggeris, Jerman, Belanda dan Perancis. Setelah pulang ke tanah air, beliau mengembangkan ilmu perubatan
Homeopathy di kalangan orang Melayu yang berminat, di merata-rata tempat termasuk di Singapura, Kuala Lumpur dan Taiping.
Ramai diantara penuntutnya menjadi sahabat
karibnya dan ada diantara mereka ini yang masih lagi meneruskan usahanya dengan mengadakan kuliah-kuliah mengajar Homeopathy
seperti Prof. Dr. Haji Mohamed Bin Yacob, Allahyarham Prof. Dr. Dali Muin, Allahyarham Prof. Dr. Muhammad Nor dan Dr. Abdul
Rahman Bin Hashim. Hasil usaha Dr. Burhanuddin dan rakan-rakannya, Homeopathy menjadi semakin berkembang di mana klinik-klinik
Homeopathy mulai tumbuh di seluruh tanah air. Namun demikian perkembangannya berlaku secara senyap sahaja.
Kedudukkan Homeopathy hanya mula di
kenali pada awal tahun 80-an di mana ia mendapat sambutan masyarakat dari segenap golongan. Ceramah-ceramah Homeopathy dapat
disampaikan di sekolah, kolej, institute pengajian tinggi dan di agensi-agensi kerajaan. Begitu juga Homeopathy mendapat tempat
di media cetak dan media elektronik. Pada tahun 1960 telah tertubuhnya sebuah persatuan Homeopathy yang pertama di Malaysia
yang di kenali sebagai Persatuan Homeopathy Malaya, bagi memikirkan nasib, matlamat serta menggariskan perjuangan untuk dekad-dekad
akan datang.
Persatuan ini didaftarkan secara rasminya
pada tahun1961 di mana Prof. Dr. Burhanuddin menjadi presiden pertamanya. Banyak jasa-jasa yang telah ditaburkan oleh Dr.
Burhanuddin di antaranya menyuarakan isu-isu Homeopathy di parlimen semasa beliau menjadi ahli parlimen bagi tahun 1959 –
1964. Suaranya yang lantang menyebabkan aktiviti mengembangkan Homeopathy berkembang ke seluruh negara.
Pada 25 Oktober 1969, Dr. Burhanuddin
telah pulang ke rahmatullah setelah berjaya menaburkan banyak jasa-jasa kepada masyarakat, orang melayu, Islam, politik tanahair
dan merupakan pelopor kepada ilmu dan perkembangan Homeopathy di Malaysia. Tempat beliau di ambil alih oleh Prof. Dr. Mohd
Nor Nordin di mana pergerakkan itu semakin bertambah aktif dan bertambah banyak bilangan peminat dan penyokongnya. Persatuan
ini di ubah namanya kepada Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia ( PPHM ).